Selasa, 01 Januari 2013

Terowong Zaman Perang Ditemui Di Kelantan



TUMPAT – Kampung Palekbang di sini tiba-tiba menjadi tumpuan apabila tersebar cerita penemuan terowong peninggalan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua di laman sosial, di blog dan cakap-cakap di kedai kopi sejak seminggu ini.


Kewujudannya terus menjadi teka-teki apabila khabar angin mengatakan terowong tersebut panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga Lalang Luas, Machang.


Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat bekas kubu tentera Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi, yang kini dalam kajian pembangunan ekosejarah selia Kerajaan Negeri Kelantan.



Beberapa hari lalu kelihatan anggota polis, tentera, bomba berada di lokasi tersebut.


Bagaimanapun kesahihan kewujudan terowong tersebut masih menjadi persoalan hingga kini.


Tinjauan Sinar Harian di lokasi tersebut mendapati kawasan tersebut sedang giat dibersihkan dan kelihatan beberapa telaga ditemui, didakwa sebagai lubang untuk turun ke bawah tanah.


Turut juga kelihatan binaan lama yang sudah ditenggelami tanah dibersihkan serta beberapa kawasan yang sudah dikawal oleh pihak keselamatan.


Seorang penduduk tetap Kampung Palekbang, Zakaria Abdul Kadir, 74, berkata, cerita kewujudan terowong bawah tanah ini adalah cerita karut yang sengaja digembar-gemburkan.


“Memang tidak wujud terowong bawah tanah, itu semua cerita karut, tidak ada stor bom atau pun senjata api di sini,” katanya.


Menurutnya, telaga yang ditemui di kawasan tersebut adalah tempat simpanan air untuk kegunaan kereta api dan bukannya terowong untuk turun ke bawah tanah.


Zakaria berkata, lokasi tersebut asalnya pelabuhan dan stesen kereta api yang tersohor menjadi nadi penghubung rakyat Kelantan untuk ke Kota Bharu serta sebagai pusat perdagangan.


Menurutnya, Kampung Palekbang wujud sebelum kedatangan Inggeris di Kelantan.


Bagaimanapun kewujudan kampung itu disenaraikan dalam rekod setelah kerajaan Inggeris membina landasan kereta api pada pertengahan 1920.


“Palekbang adalah kampung yang termaju sekali dalam Kelantan pada masa itu apabila muncul sebagai pusat perdagangan dan pekan transit dari luar Kelantan ke Kota Bharu serta tempat-tempat lain.


“Dengan kemudahan pengangkutan yang maju dan kedudukan yang strategik, Kampung Palekbang berfungsi sebagai pusat pengumpulan, pengedaran sama ada dengan kereta api atau feri yang merentasi Sungai Kelantan,” katanya.


Zakaria berkata, pada masa itu, Kampung Paklebang mempunyai stor simpanan sejuk yang menyimpan stok minuman botol F&N dan Coca-cola, serta depo minyak Shell dan Esso untuk bekalan bagi seluruh negeri Kelantan.


“Di sini juga terdapat kilang air batu yang besar untuk membekalkan air batu bagi seluruh negeri Kelantan dan kesemua bangunan tersebut terletak di pinggir sungai Kelantan seiringan dengan stesen kereta api Palekbang,” katanya.


Bagaimanapun, kata Zakaria, stesen kereta api Palekbang terpinggir sekitar tahun 1970-an apabila Jambatan Sultan Yahya Petra dibina dan dibuka menjadikan jalan darat berkembang.


Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob ketika dihubungi memaklumkan lokasi yang didakwa mempunyai terowong bawah tanah itu masih dalam kajian pihak Kerajaan Negeri.


“Tidak ada apa yang luar biasa di kawasan berkenaan, ia masih dalam kajian dan pelbagai penemuan kemungkinan akan diketahui nanti.


“Mungkin di bawah tanah tersebut ada tempat simpanan peralatan perang milik tentera Jepun. Sebab itu, Kerajaan Negeri minta bantuan pihak tentera ke lokasi tersebut. Lagi pun di sini pada zaman Jepun adalah penempatan tentera, kemungkinan ada bahan api di bawah sana,” katanya.


Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pekan meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan khabar angin berkaitan penemuan terowong tersebut.



Read more: http://takserius.blogspot.com/2012/12/info-hangat-terowong-zaman-perang.html#ixzz2GlzFcfL4

Tidak ada komentar:

Posting Komentar